Lawatan rasmi Putera Mahkota Brunei ke Singapura, esok

1 month ago 59
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Putera Haji Al-Muhtadee Billah, di Istana pada Oktober 2018. (FOTO Facebook/Lee Hsien Loong)

SINGAPURA: Putera mahkota Brunei, Putera Haji Al-Muhtadee Billah akan membuat lawatan rasmi ke Singapura dari esok, Rabu (3 Ogos) hingga Jumaat (5 Ogos), atas jemputan Menteri Kanan, Teo Chee Hean.

Putera mahkota itu, yang juga menteri kanan di Pejabat Perdana Menteri Brunei, akan mengetuai delegasi ke Program Pemimpin Muda Singapura-Brunei (YLP) ke-8, kata Kementerian Luar Negeri (MFA).

Dilancarkan pada 2013, program itu merupakan platform utama bagi pemimpin muda Singapura dan Brunei untuk berinteraksi dan membina hubungan antara satu sama lain, tambah kementerian itu.

Putera mahkota akan ditemani isteri dan tiga anak mereka. Anggota delegasi Brunei yang lain termasuk beberapa menteri dan pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam Brunei.

“Kunjungan Duli Yang Teramat Mulia, yang pertama sejak 2019 akibat pandemik Covid-19, mengesahkan hubungan yang sangat baik dan rapat antara Singapura dan Brunei,” kata MFA dalam satu kenyataan media, lapor CNA.

Ia menambah bahawa kedua-dua pihak akan membincangkan cara untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala pada tahun-tahun akan datang.

Semasa lawatannya, putera mahkota dan keluarganya bakal menghadiri majlis santapan tengah hari yang dianjurkan oleh Presiden, Halimah Yacob dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong akan menganjurkan majlis santapan tengah hari secara berasingan untuk putera mahkota dan anggota delegasinya.

MFA berkata, majlis makan malam alu-aluan akan dihoskan oleh Teo dan Timbalan Perdana Menteri, Lawrence Wong.

Putera mahkota juga dijadualkan akan melawat Victoria School dan Victoria Hall, Our Tampines Hub dan pusat perkhidmatan awam bersepadunya, serta Pangkalan Tentera Laut Changi.

Read Entire Article