Konvensyen Wanita BN Lontar Resolusi Untuk Parti Kemuka Tawaran Baharu Kepada Rakyat

1 month ago 43

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Cadangan 30 peratus calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, penubuhan Bank Wanita, Bantuan Khas Pendidikan adalah antara beberapa cadangan yang dikemukakan olah Wanita Barisan Nasional (BN) pada Konvensyennya yang berlangsung hari ini, di World Trade Centre (WTC).

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelbagai resolusi telah dilontarkan merangkumi sektor Pendidikan, Pengajian Tinggi, IT dan Teknologi, Wanita Dalam Pentadbiran, Kebajikan dan Agama, Keselamatan dan Sosial, serta juga Ekonomi.

Menurut beliau demi kemenangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti, melalui konvensyen ianya perlu disemak, diteliti dan mfokus kepada isu-isu utama rakyat, supaya tawaran baharu kepada rakyat dalam Aku Janji Barisan Nasional untuk PRU15, benar-benar yang diperlukan dan memanfaatkan rakyat.

“Dalam mendepani impak pasca-COVID-19, antara cabaran yang dihadapi ialah masalah kewangan dan keciciran pelajar. Wanita BN mencadangkan agar Bantuan Khas Pendidikan diwujudkan dan proses pendaftaran yang fleksibel perlu dibuat bagi memastikan anak-anak yang keciciran ini, dapat kembali ke sekolah.

“Wanita juga peka terhadap kekangan kewangan yang dihadapi oleh rakyat. Atas keprihatinan ini, Wanita mencadangkan agar penjenamaan semula projek Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan memperluas bantuan kepada semua pelajar yang memerlukan, iaitu tidak terhad kepada B40 sahaja. Makanan yang disediakan hendaklah juga mempunyai nutrisi yang seimbang.

“Kita sedar bahawa pihak Kerajaan telah banyak menyediakan inisiatif dan bantuan kepada wanita dalam bidang ekonomi. Walau bagaimanapun, inisiatif-inisiatif ini masih tidak cukup. Dana diberikan kurang, nak mohon susah, proses tidak mesra, banyak birokrasi. Apa yang Wanita perlukan?

“Kami mencadangkan Agensi Khas Kewangan Wanita seperti Bank Wanita yang dapat menguruskan kewangan bagi membantu usahawan wanita. Bank Wanita ini dapat memastikan mikrokredit, e–commerce, dan insurans untuk wanita dapat diurus sepenuhnya dengan baik. Sesungguhnya, wanita adalah ‘good pay master’. Dan sebenarnya, resolusi bagi cadangan penubuhan Bank Wanita adalah konsisten dengan apa yang Wanita perjuangkan selama ini, semenjak 2015 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup Konvensyen Wanita BN yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut bersama Ketua-Ketua Wanita komponen BN serta pimpinan pusat dan negeri.

Dalam pada itu, menerusi ucapan yang sama Noraini turut melontarkan cadangan agar diwujudkan universiti wanita yang dapat memberikan penawaran khusus yang relevan dan mewujudkan permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja.

“Kita tahu, wanita yang dapat memasuki universiti pada masa ini telah melebihi daripada lelaki. Dari segi ratio ialah 1 nisbah 9 1.3 bagi kemasukan ke IPT. Walau bagaimanapun, statistik turut menunjukkan bahawa kebolehpasaran graduan wanita adalah kurang, iaitu 84.4% berbanding 87% graduan lelaki. Dalam hubungan ini, Wanita merasakan perlu ada sebuah institusi yang melihat khusus kepada isu ini.

“Dalam konteks isu kebajikan pula, Wanita sentiasa prihatin terhadap kebajikan ibu yang mempunyai anak kecil. Bagi yang bekerja, kita semua telah merasai cabaran bekerja dan menjaga anak pada masa yang sama. Ada wanita yang terpaksa berhenti kerja demi anak-anak. Ada pula yang terpaksa meneruskan kerja bagi membantu menyara keluarga, walaupun dengan ada anak kecil.

“Jadi, kami mencadangkan agar wanita yang mempunyai bayi berumur 2 tahun diberikan pilihan dan kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi memudahkan urusan penjagaan bayi tanpa pemotongan gaji dan elaun. Berdasarkan kepada pengalaman bekerja dari rumah sewaktu COVID-19 dahulu, kita yakin produktiviti wanita tidak akan terjejas,” tambahnya.

Dalam pada itu berkaitan soal peratusan calon pada PRU nanti, Noraini penuh yakin cadangan 30 peratus calon wanita, pasti akan disokong oleh presiden serta kepimpinan parti yang lain

“Terima kasih kepada Datuk Seri Pengerusi BN, kerana sentiasa memberikan kepercayaan kepada wanita untuk bertanding dalam pilihan raya. Contohnya di PRN Johor sebelum ini, jumlah calon wanita meningkat dengan signifikan kepada 14 calon daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

“PRN Johor turut membuktikan bahawa, jika wanita diberi peluang, kita mampu menyumbang kemenangan signifikan kepada parti dan kita juga percaya Pengerusi BN menyokong perjuangan kami ini,” tambahnya.- UMNO Online

Read Entire Article