Ketegasan Membuka Sektor Ekonomi Dan Fokus Kepada Pekerjaan Membuahkan Hasil

1 month ago 36

Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK negara berkembang sebanyak 8.9% bagi suku kedua tahun ini dan unjuran 6.3% secara keseluruhan bagi tahun 2022.

Angka ini antara pelaporan mutakhir memberi isyarat jelas bahawa dari sudut makro, ekonomi Malaysia berada di landasan baik untuk terus pulih daripada kesan Covid-19 dan mendepani cabaran seterusnya.

Prestasi ini dipacu antara lain oleh ketegasan YAB Perdana Menteri sejak awal lagi bahawa tidak akan ada sebarang penutupan ekonomi lagi dan peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 dimana hampir semua sektor dibuka semula – memberi keyakinan kepada syarikat, majikan dan pelabur
untuk merancakkan aktiviti.

Kesihatan awam terus terkawal dengan kapasiti hospital dan pengurusan kes berkenaan Covid ditangani dengan baik – membolehkan perkara diatas berlaku.

Selain itu, fokus kepada mengurangkan kadar pengangguran antara faktor besar yang menyumbang kepada impak positif pertumbuhan ekonomi. Lebih ramai Keluarga Malaysia telah kembali bekerja.

Kadar pengangguran turun ke 3.8% pada Jun 2022 iaitu menghampiri tahap pra-Covid. Semenjak kepimpinan Kerajaan diambil alih Naib Presiden UMNO tahap pekerjaan meningkat sebanyak 400,000 pekerjaan. Walaupun kita masih menghadapi isu “underemployment” (gaji tidak setimpal), isu asas “unemployment” terus ditangani agar rakyat dapat bekerja, bergaji dan berpendapatan lantas menggerakkan ekonomi dan diterjemah kepada segala angka makro yang tercatat.

Misalnya,

1. Pelaburan asing bagi suku akhir 2021, suku pertama 2022, dan suku kedua 2022 sebanyak RM72.9 bilion. 3 suku antara tertinggi dalam sejarah Malaysia.

2. Perdagangan borong dan runcit meningkat 44% dari tahun ke tahun kepada RM132.8 bilion untuk Jun 2022 iaitu tertinggi sejak 2013.

3. Nilai jualan sektor pembuatan berkembang 23% ke RM153 bilion untuk Jun 2022 iaitu rekod tertinggi.

Disamping berita positif, cabaran ekonomi yakni inflasi dan seperti disentuh tadi ‘underemployment’ masih wujud. Kerajaan sedang berusaha menanganinya sebaik mungkin agar angka makro dapat diterjemahkan kepada rakyat majoriti dengan lebih menyeluruh.

Sebab itu, subsidi yang dibelanjakan tahun ini akan mencecah RM77 bilion. Ini termasuk subsidi petrol RON95 dimana Kerajaan beri subsidi hampir RM2.50 bagi setiap liter; subsidi elektrik di mana Kerajaan belanja sebanyak RM5.8 bilion; dan pelbagai subsidi lain untuk terus mengurangkan tekanan harga.

Beberapa perkembangan dunia tetap perlu diperhatikan antaranya; perang Ukraine-Rusia; gangguan rantaian bekalan; dan dasar monetari negara lain yang agresif menaikkan kadar faedah. Semuanya sedang memberi kesan kepada Malaysia dan beberapa langkah akan terus diambil mengikut kesesuaian semasa.

Disebalik segala ketidaktentuan dunia ini, angka-angka mutakhir menggambarkan Malaysia memiliki daya tahan yang kukuh dalam menghadapi situasi yang mencabar, insyaAllah.


SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

Read Entire Article