Ketegangan di Laut China Selatan, Malaysia perlu perkukuh ketenteraan

1 month ago 51

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia perlu segera mengukuhkan aspek ketenteraan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak bagi membolehkan negara ini mampu bertahan jika berlaku konflik di Laut China Selatan.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, Malaysia harus meningkatkan dan menaik taraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) susulan beberapa siri pencerobohan oleh tentera China.

Sejak kebelakangan ini, China dilihat semakin berani mengukuhkan kehadiran dan kemudahan ketenteraan mereka di pulau-pulau yang masih menjadi pertikaian di Laut China Selatan dan situasi itu menimbulkan ketegangan di rantau Asean.

Beliau berkata, pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.

“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil sama ada melalui rundingan mahupun diplomatik.

“Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan oleh China. Maka, kita harus lebih tegas dalam isu kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini.

“Maka, sudah tiba masanya Malaysia mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekiranya berlaku konflik di Laut China Selatan, Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan jika Malaysia tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (Warisan) itu berkata, negara lain sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.

Ahmad turut meminta kerajaan supaya mengambil peluang kesediaan China yang mahu bekerjasama dengan negara-negara Asean bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.

Beliau berkata, Malaysia harus lantang bersuara dan bertegas bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak kepada China.

Ahmad yang juga Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Parlimen Negara (PAC) itu berkata, skandal projek kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion baru-baru ini jelas menggambarkan kelemahan negara ini dalam mengutamakan projek penting untuk keselamatan negara.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang hanya fokus meningkatkan keberadaan ketiga-tiga aset tentera bagi mengukuhkan kawalan di sempadan perairan Sarawak, tetapi tidak di Sabah.

“Adakah keselamatan rakyat di Sabah tidak penting hingga tidak perlu meningkatkan keberadaan tentera di negeri ini sedangkan semua maklum sempadan perairan Sabah bukan saja berhadapan ancaman China tetapi juga isu tuntutan Sulu.

“Kementerian Pertahanan dan kerajaan persekutuan harus bertindak adil tanpa terus bersikap berat sebelah terhadap kepentingan rakyat Sabah kerana kami juga sebahagian daripada Malaysia,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

The post Ketegangan di Laut China Selatan, Malaysia perlu perkukuh ketenteraan appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article