PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan kes kusta baharu sebanyak 15.5 peratus atau 164 kes pada tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 142 kes.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, peningkatan itu adalah hasil daripada pengesanan kes secara aktif di lokaliti endemik yang dilakukan anggota kesihatan di peringkat daerah.
Menurut beliau, di peringkat global, penyakit kusta menunjukkan peningkatan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 10.2 peratus atau 140,594 kes baharu berbanding tahun 2020 (128,405 kes baharu).
“Hari Kusta Sedunia disambut semalam untuk memperingati mereka yang terkesan akibat penyakit in dan memberi kesedaran bahawa kusta masih wujud dan masyarakat perlu memainkan peranan di dalam memastikan kelestarian dan kesejahteraan kehidupan pesakit diteruskan.
“Penyakit yang sering terpalit dengan stigma dan diskriminasi ini perlu diuar-uarkan agar masyarakat mengetahui bahawa ia adalah sejenis penyakit berjangkit yang tiada kaitan dengan keturunan dan boleh sembuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sejak empat dekad yang lampau, sebanyak 18 juta pesakit kusta di dunia dirawat dengan pemberian rawatan WHO Multidrug Therapy (WHO -MDT) sehingga sembuh dan ini secara langsung mengurangkan kadar prevalen kusta di dunia sebanyak >95 peratus.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kekal komited dalam menangani permasalahan kusta dengan melakukan aktiviti kawalan dan pencegahan yang bersasar kepada golongan berisiko di peringkat lokaliti dan daerah.
“Antaranya adalah saringan kulit terhadap komuniti melalui pengesanan kes secara aktif (ACD). Kontak rapat turut dikenal pasti dan disaring di klinik-klinik yang berdekatan mengikut garis panduan sedia ada.
“Sempena Sambutan Hari Kusta Sedunia untuk tahun ini, marilah kita bekerjasama untuk memberi galakan kepada pesakit kusta agar meneruskan rawatan sehingga sembuh. Sokongan moral terhadap ahli keluarga yang terkesan juga sangat penting agar mereka terus hadir bagi menialani saringan kulit di klinik.
“Bagi komuniti berisiko seperti kontak rapat dan individu yang menetap di lokaliti endemik, hendaklah segera ke klinik apabila mula menunjukkan tanda-tanda awal kusta iaitu tompok-tompok putih atau merah tembaga di kulit yang tidak gatal. Mereka yang tidak dikesan awal atau tidak mengambil rawatan, boleh mengakibatkan komplikasi kecacatan fizikal yang kekal akibat kusta,” ujarnya.
Zaliha berkata, amat penting untuk semua individu, ahli keluarga dan masyarakat amnya untuk memainkan peranan masing-masing kerana penularan kusta dapat dihapuskan dan kecacatan dapat dielakkan jika pengesanan awal berlaku dan menerima rawatan sehingga sembuh. – UTUSAN
The post Kes kusta baharu meningkat tahun lalu appeared first on Utusan Malaysia.