Kerjasama negara Islam bantu kembang pasaran halal global

2 months ago 37

JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru kerjasama antara negara-negara Islam bagi mengembangkan lagi potensi besar produk halal di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, beliau bakal memulakan lawatan kerja secara rasmi kepada beberapa negara Islam bagi tujuan tersebut dengan Indonesia merupakan destinasi pertama.

“Ekonomi halal global telah mencatat nilai trilion dolar (Amerika Syarikat) dan potensinya masih boleh dicungkil lagi, kerjasama negara Islam khususnya antara Malaysia dan Indonesia boleh membantu mencapai matlamat itu.

“Kerajaan Johor juga merancang untuk mengadakan lawatan rasmi ke negara-negara sebegini tidak lama lagi dengan Indonesia akan menjadi persinggahan pertama,” katanya kepada media selepas menutup Festival Islam Antarabangsa Johor (FIJO) 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Festival tersebut dihadiri peserta dari 15 negara, antaranya Indonesia, Syria, Lebanon, Turki dan United Kingdom.

Produk yang dijual melibatkan makanan dan minuman, fesyen, kewangan dan insurans, pelancongan, kesihatan dan kecantikan.

Mengenai program berkenaan, Onn Hafiz memaklumkan kira-kira RM20 juta nilai jualan telah dicapai menerusi gerai-gerai dan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk mengeksport produk oleh lima syarikat tempatan.

“Ini adalah peningkatan yang ketara berbanding RM7 juta yang dicatat dalam edisi pertama FIJO yang diadakan sebelum pandemik Covid-19 pada 2019.

“Kerajaan negeri akan terus menyokong usaha bersepadu ini untuk mempromosikan pasaran halal dan kami berharap FIJO akan terus diadakan setiap dua tahun selepas ini,” tambahnya.

Dalam festival berkenaan, syarikat Jalen Sdn. Bhd., We1 Manfacturing (M) Sdn. Bhd., Hsrich Global Sdn. Bhd., Kia Shing Foodtec Sdn. Bhd., dan Irma Ariandi Global Sdn. Bhd., masing-masing menandatangani MoU dengan PT Irma Ariandi Global Indonesia untuk memasarkan produk mereka di Indonesia. – UTUSAN

The post Kerjasama negara Islam bantu kembang pasaran halal global appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article