Kerajaan Negeri Terus Pantau Situasi Banjir, Utamakan Keselamatan Rakyat

2 days ago 19

JOHOR BAHRU, 25 Jan – Kerajaan Negeri Johor akan terus memantau situasi banjir di negeri ini terutama keselamatan rakyat serta memastikan keadaan terkawal setiap masa.

Dalam memberi jaminan itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata semua pegawai-pegawai dan agensi yang terlibat termasuk Ahli-ahli Exco kerajaan negeri akan terus memantau kawasan yang dinaiki air.

“Keselamatan rakyat adalah keutamaan kerajaan negeri dan kami akan lakukan yang terbaik untuk memastikan keadaan kekal terkawal pada setiap masa.

“Saya akan memantau operasi agensi yang terlibat khususnya Pejabat Daerah selaku penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, bagi memastikan keselamatan rakyat terus terjaga, biarpun dalam keadaan seperti ini,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Beliau juga menjunjung kasih titah Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu Southern Volunteers digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa daerah di negeri Johor.

“Semoga bantuan ini dapat meringankan sedikit beban keluarga dan mangsa yang diuji ketika ini,” kata beliau.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia & Sukarelawan) Datuk On Jabbar @ Jaafar menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Baru Sungai Mas, Kota Tinggi, serta menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri sendiri.

Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada barisan Exco kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Negeri Datuk Zahari Sarip yang telah meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir di PPS Kampung Paya Merah dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tenang di Labis, Segamat.

Turut melawat PPS ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan & Budaya Negeri K Raven Kumar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perdana dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ping Ming di Kluang selain Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat Negeri Khairin-Nisa Ismail @ Md On, yang turut meninjau keadaan mangsa banjir di Sekolah Agama Sri Kg Tengah 1, Kluang.

Johor dilanda banjir hari ini susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi yang menyaksikan seramai 1,093 orang di Kluang, Segamat dan Kota Tinggi, terjejas bencana itu setakat 4 petang tadi. – BERNAMA

Read Entire Article