Kerajaan Kedah, KKM rangka strategi kurang kes kematian Covid-19

1 year ago 177

ALOR SETAR: Kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  merangka beberapa strategi bagi mengurangkan kes kematian akibat Covid-19 di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, dari segi infrastruktur, sebanyak 1,127 katil di wad biasa dan 104 katil unit rawatan rapi akan ditambah dengan segera.

Selain itu, katanya, sebanyak 275 katil di unit kecemasan akan ditambah bagi menampung keperluan mereka yang memerlukan bantuan oksigen.

“Selain itu, kita juga akan menambah bilangan ambulans dengan perkara itu telah dinyatakan dalam pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin baru-baru ini.

“Penambahan sebanyak 826 katil juga akan dilakukan melibatkan tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kulim, Dewan Al-Farabi di Alor Setar dan Dewan Wawasan di Jitra,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi penggulungan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, sebanyak 24,191 remaja telah menerima suntikan vaksin Covid-19 buat golongan itu pada 20 September lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 15,324 mengambil suntikan di pusat pemberian vaksin (PPV) biasa.

“Selebihnya iaitu seramai 8,867 lagi, mendapatkan suntikan tersebut di PPV khas kerana mempunyai komorbiditi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

The post Kerajaan Kedah, KKM rangka strategi kurang kes kematian Covid-19 appeared first on Utusan Digital.

Read Entire Article