Kepok gonde kaler-kaler

1 month ago 40

Sudah seminggu warung mereka tidak beroperasi. Senyap sunyi. Mujur juga ketika ini cuti bulan Ogos, tidaklah terasa ketiadaannya. Jika hari bekerja biasa, sudah pasti riuh orang bertanya “kenapa tak buka kedai?”
Keadaan ibu yang belum dipastikan telah menyebabkan keluarganya membuat ubah suai dalam rutin kerja harian mereka. Wan So’ud memohon kepada Awang Hong untuk ‘berehat’ daripada kerja-kerja di kilangnya. Dia terpaksa pula menguruskan warung yang ditinggalkan Mek Leha untuk jangka waktu yang tidak dapat dipastikan. Dengan senang hati dan memahami, Awang Hong menerima alasan Wan So’ud.
Awang Hong ni memang baik – berciri Islamik. Padahal dia bukan Islam pun. Tapi tingkah-lakunya, peribahasa dan akhlaknya, bukan main! Calang-calang, kalah kita berdebat pasal agama dengannya.
Kalau bab hadis, dua tiga puluh dihafalnya. Soal bulan Islam, hari kebesaran Islam dan soal haram halal pun dia mahir. Bukan itu sahaja, bahkan hubungan baiknya dengan masyarakat kampung memang terpuji dengan telo Terengganu tulen. Benarlah bagai dikata, Awang Hong itu seorang yang lebih Melayu daripada orang Melayu. Berkain pelikat, semutar, makan kepok, nasi dagang dan satar, otok-otok memang basahannya. Sebab itu nama ‘Awang’ melekat dan mendepani kata panggilan Hong itu.
Wan So’ud pernah mengadu dadanya lelah ketika mengangkat kotak-kotak air yang berat bebannya. Dan simptom itu kelihatan kian nyata lewat kejutan yang berlaku ke atas isterinya. Justeru, Awang Hong menawarkan kerja kepada anak Wan So’ud mengganti tempatnya.
“Terima kasih, tauke,” hanya lafaz mulia itu yang mampu menyaingi tindakan dan jasa baik bosnya itu. Awang Hong hanya senyum ikhlas sambil tidak menunjukkan apa-apa reaksi yang tindakan Wan Soud itu menyusahkan operasi kilang. Sebab itulah agaknya, perniagaan Tauke Awang Hong maju walaupun dia satu-satunya penduduk dari kaum Cina di kampung itu. Tinggal di hujung pula tu. Tapi kilang air mineralnya menjadi. Sebuah pasar mini yang menyediakan segala prasarana penduduk tidak pernah putus orang datang. Wan So’ud sudah semacam adik-beradik. Tidak pernah keluarga Wan So’ud kebuluran kerana ketiadaan makan minum. Pantang dengar dia tiada duit, tauke Awang akan hantar beras, bagi duit dan macam-nacam lagi. Sampai naik malu juga Wan Soud dengan sifat mahmudah Awang Hong.
Kini Wan So’ud akan beraksi sepenuh masa di warung dengan anak daranya, Noni. Mudah dia melakukan kerja ikut kapasiti kekuatannya. Kalau rasa sihat dia akan buat semua menu yang dipromosi di gerainya. Jika rasa tidak larat, dia sediakan menu asas sahaja.
***
Cuti hujung tahun itu membuatkan Noni ada masa untuk menuntut ilmu ibunya dan mengaplikasi sedikit sebanyak kemahiran dipelajari dalam kelas ERT di sekolah.
Walaupun ibu telah keluar hospital, namun masih perlu berehat. Dua minggu sekali dia akan mendapatkan pemeriksaan susulan. Pihak hospital belum dapat memberi preskripsi tepat penyakit ibu. Katanya, tunggu kedatangan doktor pakar yang akan bertugas di hospital berkenaan.
Iltizam Noni sering mendapat semangat daripada Salina Vee, anak tauke Awang Hong. Kawan sekolahnya ini pun memang fotostat terus sikap papanya. Dahlah comel, baik dan berbudi bahasa pula.
Ruang senggang dijadikannya tapak untuk membantu merancang masa depan perniagaan Noni dan keluarganya. Kemahiran masyarakat Cina dalam bidang ini memang tidak disangkal lagi. Vee dengan murah hati berkongsi pengalaman dan ‘ senjata utama’ kaumnya dalam perniagaan.
“Kita kena selalu buat transformasi, Noni,” ujarnya suatu ketika. Noni akur kerana dia juga ada belajar beberapa subjek berkaitan perniagaan di kelasnya. Soal pemasaran, modal, kedudukan premis dan cara layanan pelanggan memang dia tahu. Tapi hal transformasi itu, dia kurang arif.
“Macam mana itu, Vee?” Mereka menapak ke ruang hadapan kerana ketika itu suasana agak lengang. Vee mengambil sebatang keropok lekor dan sepinggan nek bak yang belum terjual di gerai itu. Noni memandang dengan tanda tanya kerana mereka baru sahaja pekena kudapan itu tadi. Setahunya memang Salina Vee ini amat menjaga makan dan mengamalkan diet sihat. Tidak mungkin dia akan makan dua kali dalam sela masa singkat.
“Macam ini…” Vee senyum sinis seakan faham apa yang berdecit di liang hati Noni. Dia ambil keropok lekor tadi dan menayang-nayangkan di hadapan Noni. “Kau tengok betul-betul kepok lekor a.k.a kepok gonde ni, nampak apa-apa keistimewaan tak?” soal Vee. Noni buka mata luas-luas. Batang keropok yang telah lali dilihatnya. Tiada keistimewaan pun. Warna gelap, bentuk silinder panjang. Apa lagi?
“Eh, kau ini. Istimewa apa? Bentuk pun buruk. Tapi rasanya yang mengancam,” Noni beri jawapan klise. Dia belek-belek lagi sekali. Sama. Dia cemberut, rasa seakan dipermainkan kawannya itu.
“Tenguk betul-betul!” arah Vee lagi beria-ia
“Tak ada!” tingkah Noni juga tinggi. Salina Vee ketawa. Terasa semacam dia memenangi debat itu. Noni tidak memahami apa maksud gadis mesra alam itu.
“Betul. Tak ada apa-apa keistimewaannya!” Vee separuh jerit. Noni paling pandang dan tenung muka Salina, getap bibir. Geram. “Choi, buang masa saja layan mek ni,” Noni bernada sinis. Buat-buat merajuk. Salina Vee senyum dan ketawa kecil. Menampakkan lesung pipit yang jarang dimiliki oleh wanita Tionghua. Malah matanya pun tidak sepet seperti kebanyakan bangsa sejenisnya. Barangkali terlalu rapat dengan cara hidup dan makan masyarakat Melayu membuatkan genetiknya pun terpalit DNA kemelayuan. Noni buang pandang ke luar.
“Olo lo ngajuk doh semek ni. Koho nagajuk koho comey,” Salina Vee yang keletah itu buat lawak. Dalam merajuk itu Noni terhibur juga dengan lelucon ‘saingnya’. Salina ambil semula keropok batang di atas meja. Dia timang-timang.
“Dengar sini, mek,” katanya sambil jemari runcing menarik bucu dagu Noni yang tirus ke arahnya. Noni pula sengaja berpaling ke arah lain.
“Noni tengok sini.” Gerakan agak keras Vee menyebabkan Noni mengaku kalah kali ini. “ Hari-hari kita tengok benda ni. Agak gelap, tak menarik dan tak cantik. Terfikir tak kita, kalau kita cantikkan wajahnya, kasi ‘make-up’ sikit. Tentu orang lebih minat untuk membeli dan mendapatkannya,” tegas Salina Vee lagi. Noni pegun. Perlahan-lahan dia angkat kepala yang tadinya malas hendak layan gurauan rakannya itu.
Sekonyong-konyong masuk akal juga apa yang dinyatakan Vee itu. Orang mudah tertarik dengan pandangan pertama. Warna, bau, rasa dan variasi akan menjadi daya tarikan pancaindera pelanggan. Selama ini di mana-mana pun jual keropok lekor goreng dengan persembahan serupa. Mulutnya melopong seakan mahu mendengar lagi apa idea Vee. “Hmm, ada point,” Noni angguk-angguk.
Salina Vee juih nek bak yang selalu dimakannya. Itu hasilan percubaan pertama Noni hasil tunjuk ajar ibunya. Namun aura dan perisanya tidak setanding buatan tangan Mak Leha. Noni terbayangkan riwayat nek bak ibu sekiranya terus tidak dijual ekoran keuzuran Mak Leha.
Sedikit demi sedikit kuih itu akan mula dilupakan pelanggan. Beberapa minggu awal ibunya jatuh sakit hari itu, banyak juga orang bertanya. Lama-kelamaan pertanyaan itu hilang apabila tiada solusi terbaik diberikan oleh Wan Soud dan Noni.
“Ok, apa cadangan akak?” Sesekali Noni menggunakan kata ganti itu memandangkan Vee berumur sedikit daripadanya. Salina Vee angguk-angguk sambil senyum memanjang seolah-olah mengisytiharkan kemenangannya sebentar tadi. Noni setia dan sedia menerima ideanya demi merealisasikan isu utama – transformasi.
***
Keadaan ceria di warung bucu jalan masuk ke Lorong Ketapang. Bilangan pengunjung mula bertambah sejak akhir-akhir ini. Walaupun masih cuti lagi, tetapi seakan ada aura yang menarik orang kampung mendatangi warung tersebut.
Noni tak menang tangan meladeni pengunjung yang datang berdedai-dedai. Layan pelanggan yang makan di situ, buat air dan goreng keropok semua di bawah tangannya. Belum lagi yang hendak ‘tapau’ bawa balik rumah. Lebih-lebih waktu petang, ketika ramai orang balik dari pejabat, memang lelahlah melayan.
Tapi petang itu, Noni dapat pembantu kedai baharu. Anak Tauke Awang Hong jadi penyambut tetamu dan pramusaji kedai. Dialah ambil pesanan, hantar makanan dan air serta sesekali cuci pinggan cawan. Bukan main rancak lagi tangannya mengatur irama. Memang anak Cina ini rajin betul menguruskan perniagaan walaupun bukan bidang niaga yang biasa ditanganinya.
Wan So’ud duduk kaunter sahaja menerima bayaran pelanggan. Ada ketikanya dia ke dapur mencuci peralatan. Itulah kerja berat yang mampu dilakukan. Hendak lebih-lebih bimbang pula sakitnya menyerang. Gembira wajahnya melihat gelagat dua sahabat itu beraksi di lapangan. Luar biasa sekali sambutan pelanggan.
“Gini baru iye. Naik selera nok makang,” kedengaran komen seorang pelanggan yang sedang menikmati hidangan keropok ala baru Warung Wan So’ud.
“Bakpe tak dok idea nok buat selama ni? Kan comey warna-warni. Meroh ada, putih ada. Dok serupa mule!” sokong sahabat di sebelahnya. Mereka ini peminat tegar makanan tradisi Terengganu. Tapi tak janggal pula dengan perubahan yang berlaku pada rupa paras keropok lekor terkini itu.
Noni dan Salina Vee sempat juga bertukar senyum sambil tangan ligat menjalankan kerja masing-masing. Terhibur hati mereka melihat gelagat pelanggan yang berbadi menayang potongan Kepok Lekor Kaler jenama baharu yang diberikan kepada produk inovasi dua gadis remaja itu. Sekaligus menambah variasi pilihan pelanggan sama ada mahu perisa asli atau inovasi.
“Warna biru ini perisa udang, pok,” jelas Vee ketika menghantar sepiring keropok kepada pelanggan. Angguk-angguk faham lelaki separuh abad sambil mengunyah. Sebentar, datang pula Noni membawa pesanannya.
“Kuning pula!” sambut rakan pelanggan tadi. Tangannya pantas menjamah keropok versi baharu tersebut. “Ini rasa macam jagung. Wah, dah ada keropok lekor jagung pula,” ulasnya. Vee dan Noni suka menerima komentar pelanggannya.
“Merah, putih, kuning dan biru. Ini dah serupa bendera Malaysia,” pelanggan tadi baru sedar akan keunikan kepok gonde kaler tersebut. Pelanggan lain yang ada di situ juga baru perasan. Elok pula mereka menyusun batang keropok itu menjadi Jalur Gemilang.
“Untuk pakcik berdua, hari ini saya belanja. Keropok lekor merdeka!” ujar Noni kepada pelanggan bernasib baik itu. Sayup-sayup dari tetuang pusaka Wan So’ud, irama lagu Tanggal 31 Ogos kedengaran memenuhi ruangan. – MINGGUAN MALAYSIA

The post Kepok gonde kaler-kaler appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article