Kenderaan, wang milik bekas peguam 1MDB dilucuthak

1 week ago 149

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021 manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid turut membenarkan permohonan pihak ketiga, OCBC Bank (M) Berhad untuk menuntut harta tak alih iaitu kondominium mewah di Mont Kiara milik wanita tersebut yang disita pada 15 Februari 2021.

Hakim Azhar memutuskan demikian selepas meneliti afidavit-afidavit yang difailkan bagi menyokong permohonan pelucuthakkan.

Afidavit itu diikrarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous daripada Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 12 November 2021.

Afidavit lain turut diikrarkan oleh dua Pengawai Penyiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Aswady Ahamad dan Mohd. Izuddin Ishak pada hari yang sama.

Pada prosiding itu, Noor Zalizan mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Lim Jun Yik mewakili pihak ketiga.

Permohonan pelucuthakkan itu difailkan oleh pihak pendakwaan pada November 2021 mengikut Seksyen 56(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA) (Akta 613).

Menurut laporan portal berita TheEdge, kondominium mewah tersebut dilelong oleh OCBC Bank selepas Jasmine didakwa gagal menyelesaikan hutang tertunggak melebihi RM300,000.

Selain harta Jasmine, Kerajaan Malaysia turut memohon untuk melucut hak harta milik bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1MDB, Casey Tang Keng Chee.

Permohonan itu dijadual untuk sebutan di Mahkamah Tinggi berlainan pada 10 Februari ini.

Harta Casey yang dimohon untuk dilucuthak adalah wang tunai berjumlah RM156,500, sebuah kenderaan, sebuah banglo dan sebuah lot pejabat.

Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Casey dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. – UTUSAN

The post Kenderaan, wang milik bekas peguam 1MDB dilucuthak appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article