Keluarga mangsa buah pinggang saman kerajaan Indonesia

1 month ago 27

JAKARTA: Seramai 12 keluarga mangsa yang meninggal dunia atau cedera akibat komplikasi buah pinggang akut selepas mengambil sirap ubat batuk tercemar menyaman kerajaan Indonesia dan syarikat yang dituduh membekalkan produk terbabit.

Indonesia menyaksikan peningkatan kes kecederaan buah pinggang kronik itu sejak Ogos lalu dengan kematian sekurang-kurangnya 199 orang, kebanyakannya kanak-kanak hingga mendorong siasatan dan larangan ke atas beberapa penjualan ubat cecair.

Tuntutan menyasarkan kementerian kesihatan, Badan Pengawal Ubatan dan Makanan (BPOM) dan tujuh syarikat yang terlibat dalam penjualan ubat jenis sirap yang mengandungi jumlah bahan kimia berlebihan.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Awan Puryadi memberitahu AFP, mereka mengambil tindakan kerana pihak berkuasa gagal menghalang penjualan ubat-ubatan berbahaya hingga mengakibatkan kematian atau kecederaan kepada kanak-kanak.

“Tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab. Mereka sangat kecewa dengan situasi semasa.

“Kami menuntut pembekal ubat, farmasi, BPOM dan kementerian kesihatan bertanggungjawab,” kata Awan mengenai tuntutan mahkamah yang difailkan pada 18 November itu.

Menurut peguam itu, keluarga menuntut pampasan sekitar dua bilion rupiah (RM570,356) bagi setiap mangsa yang meninggal dunia dan sekitar satu bilion rupiah (RM285,071) bagi setiap mangsa yang cedera.

Jelasnya, dua keluarga yang tersenarai dalam tuntutan mahkamah tersebut sedang menjalankan tindakan undang-undang bagi pihak sejumlah 12 keluarga ketika ini sambil menambah lebih ramai lagi akan menyertai tuntutan berkenaan.

Polis sudah melancarkan siasatan ke atas sekurang-kurangnya tiga syarikat mengeluarkan ubat sirap yang mana lesen mereka sudah dibekukan buat sementara waktu.-AFP

The post Keluarga mangsa buah pinggang saman kerajaan Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article