JPKM bantu 25,000 pelajar masuk IPT

1 month ago 31

JELEBU: Kira-kira 25,000 pelajar telah dibantu untuk memasuki memasuki institut pengajian tinggi (IPT) setakat ini menerusi penganjuran Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM) 2022.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah tersebut adalah 50 peratus daripada keseluruhan 50,000 pelajar yang disasarkan untuk dibantu pada tahun ini.

“Tahun ini Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) yang menganjurkan JPKM akan menyelesaikan siri jelajah ke 50 parlimen di seluruh negara. 

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minta seramai 50,000 pelajar dibantu tahun ini sama ada untuk mereka buat sijil, diploma ataupun ijazah sarjana muda. Setakat ini Prihatin telah mencapai sehingga 50 peratus,” katanya.

Beliau yang juga menteri mentor bagi program JPKM berkata demikian selepas merasmikan JPKM Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Bahagian Jelebu di Simpang Pertang di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Prihatin, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali.

Mahdzir berkata, sememangnya tumpuan program berkenaan adalah untuk mencari pelajar-pelajar di luar bandar yang mungkin terlepas untuk memasuki mana-mana IPT ekoran beberapa faktor termasuk kurang berkemampuan dari segi kewangan keluarga.

“Sebelum ini pelajar-pelajar kita memasuki ke universiti dan IPT selepas ditawarkan berdasarkan keputusan peperiksaan mereka, ada juga yang masuk selepas mereka melalui sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

“Tetapi masih ada yang terlepas pandang, oleh itu saya berharap apabila JPKM dianjurkan di kawasan-kawasan parlimen, sekiranya ada pelajar-pelajar yang layak dan ada kesesuaian ambillah pelajar-pelajar ini,” katanya.

JPKM adalah inisiatif dan projek khas Perdana Menteri dalam membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara kepada seluruh masyarakat terutama penduduk kawasan pedalaman.

Ia melibatkan penyertaan kira-kira 38 buah IPT awam dan swasta serta institut kemahiran bagi menyediakan peluang kedua bagi pelajar untuk mendapatkan tempat ke menara gading supaya mereka dapat membina masa depan yang cemerlang.- UTUSAN

The post JPKM bantu 25,000 pelajar masuk IPT appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article