Jawatankuasa negeri, bahagian PBM Negeri Sembilan bubar

2 days ago 9

SEREMBAN: Keseluruhan jawatankuasa Parti Bangsa Malaysia (PBM) Negeri Sembilan dan jawatankuasa dari lapan bahagian parti berkenaan di negeri ini meletakkan jawatan serta merta semalam.

Bekas Pengerusi PBM Negeri Sembilan, Rosman Jonet berkata, keputusan peletakkan jawatan sekali gus pembubaran jawatankuasa berkenaan telah diambil hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri, Negeri Sembilan pada 20 Januari lalu.

Jelas beliau, keputusan yang diambil itu susulan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Larry Sng Wei Shien sebagai Presiden PBM.  

“Peletakan jawatan dan pembubaran keseluruhan jawatankuasa Negeri Sembilan termasuk jawatankuasa dari lapan bahagian iaitu Port Dickson, Jempol, Tampin, Rasah, Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah termasuk sayap Pergerakan Pemuda dan Wanita.

“Tindakan Larry Sng tanpa mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) serta penyalahgunaan kuasa dan jawatan telah memecat keahlian Datuk Zuraida Kamaruddin (pengasas PBM) dan beberapa ahli politik lain dalam PBM adalah angkuh serta tidak beradab dan berdisiplin,” katanya dalam kenyataan.

Rosman berkata lagi, Larry Sng juga telah memungkiri janji berhubung proses peralihan kuasa dan penyerahan jawatan Presiden parti diserahkan kepada Zuraida dengan serta-merta seperti yang telah dipersetujui.

Baru-baru ini, Larry Sng dilaporkan berkata, PBM di peringkat negeri-negeri termasuk Negeri Sembilan kini dalam proses penstrukturan semula.-UTUSAN.

The post Jawatankuasa negeri, bahagian PBM Negeri Sembilan bubar appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article