‘Jangan guna PAC untuk kepentingan politik’

1 month ago 37

PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata,  Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan politik.

Shamsul Anuar yang juga merupakan Ahli Parlimen Lenggong berkata, PAC adalah badan profesional dan institusi itu perlu dipelihara kredibilitinya.

“Jangan gunakan PAC untuk kepentingan politik kerana kewibawaannya akan hilang jika dipolitikkan. PAC mesti jaga kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Menerusi hantaran itu, Shamsul Anuar turut meletakkan link laporan Utusan Malaysia mengenai kenyataan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh tentang projek kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) segera bertindak berhubung pendedahan kepincangan projek LCS milik TLDM.

Susulan itu, SPRM dalam satu kenyataannya memaklumkan bahawa kertas siasatan mengenai projek LCS dikemukakan kepada AGC dengan saranan untuk mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan LCS milik TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus, namun, tiada kapal yang diterima setakat ini. –UTUSAN ONLINE

The post ‘Jangan guna PAC untuk kepentingan politik’ appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article