Jambatan Bagan Datuk-Sejagop Dijangka Siap Menjelang Aidilfitri

1 week ago 18

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengguna jalan raya dijangka boleh menggunakan laluan sejauh 10.5 kilometer (km) dan jambatan merentasi sungai Perak sepanjang 1.5km yang merupakan projek ikonik di Perak itu, pada 20 April depan.

“Kita harap projek ini siap sepenuhnya bagi memberi kemudahan bukan sahaja kepada penduduk Parlimen Pasir Salak dan Bagan Datuk, tetapi penduduk Manjung dan seluruh Perak untuk ke Kuala Lumpur.

“Apabila siapnya jambatan dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ini, perjalanan dari daerah ini ke Kuala Lumpur dijangka dapat dijimatkan dengan hanya mengambil masa kira-kira sejam setengah,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke tapak pembinaan projek jambatan itu, di sini hari ini.

Menurutnya projek bernilai kira-kira RM400 juta itu yang bermula pada akhir 2016, sepatutnya siap pada Oktober 2020 tetapi berlaku kelewatan atas beberapa faktor terutama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19, selain kenaikan kos bahan binaan, masalah pekerja dan faktor iklim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata projek berkenaan kini sudah siap 97 peratus dan diyakini dapat memberi kesan jangka panjang bagi pembangunan kawasan sekitar khususnya dari segi menarik pelabur dalam dan luar negara.

“Saya telah mengadakan perbincangan untuk membina beberapa kilang di sini. Insya-Allah, kira-kira 4,000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan pada peringkat awal ini dan menjelang 2030 akan ada banyak lagi pelaburan.

“Ini juga sudah tentu akan menggalakkan pembangunan lain seperti bangunan komersial dan perumahan kerana ada kuasa beli daripada mereka yang bekerja di sini,” katanya.

Menurutnya secara tidak langsung ekonomi daerah Hilir Perak yang merupakan kawasan ke-12 dan mukim termiskin di Perak dapat dipertingkatkan. -BERNAMA

Read Entire Article