JAINJ sahkan ajaran Hadi Minallah cuba bertapak di Kota Tinggi

1 month ago 41

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesahkan terdapat cubaan untuk menyebar ajaran sesat Hadi Minallah di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, JAINJ sedang mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang usaha anggota ajaran sesat itu daripada mencemari pemikiran rakyat negeri ini.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa sedia maklum mengenai pergerakan kumpulan ajaran sesat yang berniat menyebarkan fahaman menyeleweng dan bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang.

“Kita tahu pergerakan mereka dan mahu beri amaran supaya segera berhenti sebelum tangkapan dilakukan. Bahagian Penguatkuasa JAINJ akan terus memantau dan memerhati perkembangan terbaharu ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Agihan Manfaat Wakaf MAINJ 2022 di Fraser Place, di sini hari ini.

Pada 4 Ogos lalu, tular video berdurasi 7 minit 30 saat memaparkan seorang lelaki mendakwa sebagai pengasas ajaran itu, Wayang Hadi Kesumo atau Hadi Minallah Aminnullah Ahmad berasal dari Indonesia.

Dia mengaku tiada agama dan menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad serta pluralisme agama yang dakwanya Tuhan tidak melihat kepada agama selain turut menolak hadis.

Kumpulan ajaran Hadi Minallah yang berasal dari negara jiran dikesan berlaku di beberapa negeri di Malaysia dan aktif menyebarkan dakyah sesat mereka melalui YouTube, Persatuan Nur Mutiara Mutmainnah.

Mengenai Johor disasarkan sebagai markas penyebaran Hadi Minallah di negara ini, Mohd. Fared memberitahu, difahamkan pengikut ajaran sesat itu masih merisik kawasan yang sesuai di Kota Tinggi dan pihaknya akan mengambil tindakan sebelum ia berlaku.

“Kita ada Sesyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor untuk mengambil tindakan malah mereka yang terlibat juga boleh didakwa boleh didakwa menerusi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya. – UTUSAN

The post JAINJ sahkan ajaran Hadi Minallah cuba bertapak di Kota Tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article