Indeks jenayah sekitar Dang Wangi menurun

2 days ago 9

KUALA LUMPUR: Statistik jenayah bagi daerah Dang Wangi mencatatkan penurunan sebanyak 282 kes tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, statistik jenayah pada tahun 2021 mencatatkan 1,410 kes manakala bagi tahun lalu merekodkan 1,128 kes sekali gus penurunan sebanyak 282 kes.

“Bagi kes jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun berkawan senjata api dan lain-lain mencapai penurunan 90 kes bagi tempoh terbabit.

“Di sini, penyumbang kes jenayah kekerasan adalah membabitkan kes samun berkawan tanpa senjata dan samun tanpa senjata api selain mencederakan,” katanya ketika taklimat pada Hari Bersama Media Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Noor Dellhan berkata, jenayah harta benda juga mencatatkan penurunan daripada 1,034 kes pada tahun 2021 kepada 842 kes pada tahun 2022.

Katanya, kategori jenayah harta benda ini meliputi kes curi motosikal, curi kereta serta pecah rumah.

“Penurunan ini hasil daripada perancangan yang dirangkakan dengan beberapa kaedah secara operasi, taktikal dan strategik. 

“Kita ada penugasan rondaan berkala oleh kereta peronda polis (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) dan rondaan pencegahan jenayah dari balai. Selain itu kita juga punyai pasukan yang bertindak bagi penugasan pencegahan jenayah berstruktur mengikut data yang diperolehi berdasarkan kes jenayah yang berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah kertas siasatan, beliau berkata, tahun 2021 mencatatkan 2,885 kertas siasatan dibuka dan 1,518 pertuduhan manakala tahun 2021 sebanyak 2,846 kertas siasatan (2,045 pertuduhan).

“Sasaran utama tahun ini iaitu pertuduhan jenayah sebanyak 74 peratus, pertuduhan narkotik (99 peratus) serta pertuduhan komersial (85 peratus),” katanya. – UTUSAN

The post Indeks jenayah sekitar Dang Wangi menurun appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article