Hatrik Foden & Haaland bantu City belasah United 6-3

2 months ago 40

PETALING JAYA: Pasukan Manchester City berjaya mendiamkan jiran tetangga mereka, Manchester United apabila membelasah mereka dengan keputusan 6-3 dalam aksi yang berlangsung Stadium Etihad sebentar tadi.

City tidak perlu menunggu lama apabila Phil Foden meletakkan tuan rumah di hadapan seawal minit kelapan menerusi rembatan kaki kiri apabila menyempurnakan hantaran Bernardo Silva.

Belum sempat anak buah Erik Ten Hag menyusun strategi, mesin gol baru City, Erling Haaland hanya memerlukan tiga minit untuk menyumbat dua gol, masing masing pada minit ke 34 dan 37 untuk City di hadapan dengan 3-0.

Foden terus menambah derita pelawat apabila meledak gol kedua peribadi, kali ini hasil hantaran Haaland untuk menamatkan aksi babak pertama dengan keputusan 4-0.

United sedar mereka perlu segera bangkit dan ia berjaya diterjemahkan menerusi jaringan jarak jauh Anthony untuk menewaskan penjaga gol City, Ederson pada minit ke 56 untuk merapatkan kedudukan.

Bagaimanapun City masih belum cukup puas dengan Haaland terus mengganas apabila meledak hatrik pada minit ke 64, yang juga hatrik ketiga untuk City pada musim ini.

Foden menurut jejak langkah rakan sepasukannya itu apabila turut sama meledak hatrik pada minit ke 72 untuk kedudukan menjadi 6-1.

Biarpun ketinggalan, ditambah dengan kebanyakkan penonton pelawat sudah pun meninggalkan stadium, United masih belum bersedia mengalah apabila Anthony Martial sempat menyambar bola muntah hasil sepakan Fred untuk menyumbat gol kedua United.

Martial cuba untuk menyelamatkan maruah pasukannya apabila menyumbat satu lagi gol pada masa tambahan menerusi sepakan penalti, selepas dia dikasari Jao Cancelo, namun ia sudah terlambat untuk City melakar kemenangan 6-3 dalam perlawanan derbi ini.

Kemenangan ini menyaksikan City terus kekal di tangga kedua liga dengan 20 mata, sekaligus hanya dibezakan dengan 1 mata sahaja dengan pendahulu, Arsenal, manakala United terpaksa akur berada di tangga keenam liga dengan 12 mata.

 

The post Hatrik Foden & Haaland bantu City belasah United 6-3 appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article