FFM32: Filem Split Gravy dominasi pencalonan

1 week ago 16

KUALA LUMPUR: Festival Filem Malaysia ke-32 ( FFM32), menyaksikan filem Split Gravy arahan Datuk Zahim Al-Bakri mendominasi senarai dengan 14 pencalonan menerusi 26 kategori yang dipertandingkan.

Filem yang menampilkan  barisan pelakon antaranya Datuk Rahim Razali, Na’a Murad, Bernice Chauly, Sean Ghazi dan Juliana Ibrahim itu bersaing dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik serta Pengarah Harapan.

Sementara itu, filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa pula meraih 13 pencalonan, termasuk Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik serta Pengarah Terbaik.

FFM32 yang bakal berlangsung di Encore Theatre, Impression City, Kota Syahbandar, Melaka pada 2 Disember ini turut menyaksikan filem Abang Long Fadil 3 unggul dengan sembilan pencalonan.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Senator Datuk Seri Zurainah Musa, menyifatkan FFM32 sebagai manifestasi kepada usaha kerajaan memperkasakan industri perfileman dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan pada edisi terbaru penganjuran.

“Ia termasuk pengenalan Anugerah Khas Filem Antarabangsa yang menyaksikan penyertaan filem dari luar negara. Selain itu, pemilihan Melaka sebagai lokasi utama penganjuran dapat meningkatkan kemajuan ekonomi negeri melalui pelaburan aktiviti perfileman dan pembangunan komuniti.

“FFM32 juga bertujuan menjana jaringan dan kerjasama strategik di antara kerajaan dan penggiat industri dengan pelaksanaan program yang mengangkat profesionalisme pemain.

“Ia seterusnya menjadikan FFM32 sabagai platform manifestasi usaha pembudayaan sinema kepada masyarakat melalui karya berkualiti bagi mewujudkan sistem sokongan kepada pemerkasaan industri,” katanya.

Pemilihan tema, Filem Kita, Citra Kita, katanya selari dengan penjenamaan dan kecemerlangan penerbitan filem tempatan yang bergerak secara progresif, seiring pembangunan kualiti dan kandungan beridentitikan nilai tempatan serta berjaya mencipta impak di peringkat domestik dan antarabangsa.

The post FFM32: Filem Split Gravy dominasi pencalonan appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article