Dua beranak tipu Puteri Arab RM147 juta beli tanah di Bali

2 days ago 10

JAKARTA: Puteri Kerajaan Arab Saudi, Lolwah Muhammed Abdullah Al Saud dilaporkan mengalami kerugian sehingga ratusan bilion rupiah selepas menjadi mangsa penipuan pembelian tanah di Bali oleh dua beranak warga Indonesia.

Menurut CNN Indonesia, Puteri Lolwah diperkenalkan dengan suspek, Eka Augusta Herriyani pada tahun 2008 ketika dia bekerja di sebuah syarikat di Malaysia yang mana salah seorang pemegang sahamnya ialah Puteri Arab itu.

Puteri Lolwah menawarkan Eka untuk bekerjasama dalam menjalankan projek hartanah dan pada tahun 2009, mereka datang ke Bali dan diperkenalkan dengan anak Eka, Evie Marindo Christina yang dikatakan boleh membantu perlesenan di Indonesia.

Mangsa yang berminat untuk melabur di Bali meminta Eka mencari lokasi untuk membina sebuah vila dan selepas menyemak lokasi di Banjar Sala yang ditunjukkan dua beranak itu, Puteri Lolwah memindahkan wang untuk membeli tanah dan kos pembinaan vila itu secara berperingkat daripada April 2011 hingga September 2018, berjumlah  505.5 bilion rupiah (RM144.9 juta).

Bagaimanapun, pembinaan vila itu tidak pernah disiapkan, sebaliknya wang berkenaan digunakan oleh Eka dan Evie untuk kepentingan peribadi, membeli beberapa tanah dan kereta.

Malah Puteri Lolwah turut memindahkan 7 bilion rupiah (RM2.1 juta) untuk pembelian sebidang tanah di Jalan Pantai Berawa pada Mac 2018 bagi membina sebuah restoran namun Puteri itu kemudian berubah fikiran kerana ingin melabur di tempat lain dan meminta wang tersebut dikembalikan.

Eka berjanji untuk memindahkan wang itu dengan segera, sebaliknya hanya membuat kenyataan palsu dan tidak memulangkan wang berkenaan, malah siasatan mendedahkan tanah di Jalan Pantai Berawa juga sebenarnya tidak pernah diniagakan.

Kedua beranak itu dijatuhi hukuman penjara 19 tahun atas dakwaan kes jenayah pengubahan wang haram dan empat tahun penjara berhubung kes penipuan.

“Semasa pembacaan keputusan itu, panel Hakim menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun kepada kedua-dua defendan sama seperti tuntutan yang dikemukakan oleh Pejabat Pendakwa Raya Negeri. 

“Sebelum ini, Eka dan Evie dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana jenayah penyelewengan,” jelas Ketua Risikan Pejabat Peguam Daerah Gianyar, I Gde Ancana.

The post Dua beranak tipu Puteri Arab RM147 juta beli tanah di Bali appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article