Drama Dunia Chi-Fi: KZ Dikecam Kerana Komponen Palsu Pada IEM Mereka

6 months ago 132

Seorang pengguna dalam komuniti Chi-Fi yang bernama Delta Fyre membuat hantaran tentang IEM miliknya daripada KZ;- KZ Zex Pro CRN.

Menurutnya, IEM KZ Zex Pro yang didakwa KZ hadir dengan 1 Dynamic Driver (DD), 1 Balanced Armature (BA) dan 1 Electrostatic Driver (EST) adalah palsu. Delta Fyre telah membuka IEM miliknya dan membuat beberapa siri ujian antaranya adalah dengan mencabut BA dan EST daripada IEM miliknya dan mendapati bunyi yang terhasil tidak berubah!

Delta Fyre kemudiannya memasang semula EST dan BA lalu mencabut DD dan mendapati langsung tiada bunyi yang dihasilkan melainkan hanya bunyi berdesir. Ini membuktikan bahawa KZ Zex Pro sebenarnya hanyalah IEM dengan 1 DD, dan bukannya IEM tribid dengan 3 pemacu bunyi berbeza!

KZ baru-baru ini giat melancarkan IEM model baharu dengan kerjasama reviewer IEM di YouTube. KZ Zex Pro contohnya, adalah model kerjasama dengan saluran YouTube Crinacle di mana Crinacle bertanggungjawab membuat penilaian dan talaan model tersebut sebelum dijual sebagai produk KZ.

Namun, tidak berakhir di situ sahaja! Delta Fyre juga giat membuat pendedahan lain mengenai IEM KZ dengan “membedah” model kolaborasi YouTuber yang lain seperti KZ DQ6S dengan kerjasama YouTuber HBB.

KZ DQ6S yang didakwa mempunyai 3 DD sebenarnya hanya menggunakan 1 DD sahaja untuk menghasilkan bunyi manakala 2 lagi DD tambahan tidak bersambung pun pada tiub audionya.

Delta Fyre nampaknya sudah mula membuat pendedahan sejak Januari lalu lagi tapi isu ini mula hangat sejak 2 hari lepas dengan pendedahan KZ Zex Pro x CRN. Tanda pagar #ExposeKZ juga semakin popular di kalangan ahli komuniti.

Setakat ini masih tiada sebarang kenyataan rasmi daripada KZ walaupun di dalam kumpulan Facebook rasmi mereka. Walau bagaimanapun, bagi YouTuber yang terlibat dalam model kolaborasi KZ tersebut, mereka telah menyatakan tidak mahu terlibat dan dikaitkan lagi dengan KZ dan pembohongan ini.

Read Entire Article