Dokumen ‘ikat janji’ BN-PH jamin hak Melayu Islam

1 month ago 32

KUALA LUMPUR: Satu dokumen khas akan dikeluarkan sebagai ‘mengikat janji’ di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) supaya tiada mana-mana pihak melanggar teras perjuangan yang menjamin kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam.

‘Ikat janji’ ini juga dikatakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dokumen itu kini di peringkat draf terakhir melibatkan kedua-dua parti dan kemudiannya akan ditandatangani Presiden BN dan PH selepas pembentukan Kabinet.

“Dokumen ini akan jadi tatapan umum supaya rakyat jadi saksi bahawa perkara asas dalam perjuangan, jika ia diganggu gugat, kita tidak sesekali akan dikompromi. Dokumen ini akan ditandatangani sejurus dari pelantikan Kabinet dibuat dan sekarang ini sudah sampai di peringkat akhir.

“Itu antara asas yang kita sudah sepakati bersama, kita pun bersetuju perkara melibatkan soal kebebasan, hak asasi, tetapi, ia mestilah dalam kerangka acuan Malaysia berpandukan Perlembagaan Persekutuan, kebebasan institusi kehakiman, kedaulatan undang-undang harus sentiasa dipelihara, tadbir urus yang kita harus mantapkan, membasmi sebarang bentuk penyelewengan, itu juga antara kita agenda yang kita bincangkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Asyraf lagi, dokumen itu dibuat adalah bagi meyakinkan kepada rakyat bahawa tiada lagi ‘perjanjian sulit’ yang dibuat mana-mana pihak seperti sebelum ini, sekali gus menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku seperti sebelum Pilihan Raya Umum le-15 (PRU-15) sehingga bertukar tiga kali Perdana Menteri.

Malah, dalam masa yang sama, katanya lagi, perjanjian itu turut memberi keyakinan kepada orang Melayu Islam khususnya bimbang dengan kerjasama dengan PH yang turut melibatkan DAP.

“Iya, ini kali pertama (dengan DAP) dan sudah tentu fobia dan perasaan skeptikal dan kerisauan ahli akar umbi secara natural akan ada terhadap DAP dan itu tidak boleh dinafikan. Sebab itu di peringkat kepimpinan, kita sudah melakukan proses perundingan dengan PH. Kita letak parameter persetujuan tentang perkara asas yang saya sebutkan tadi.

“Tidak boleh sesekali mereka sentuh dalam apa jua bentuk polisi, kenyataan yang boleh mengguris perasaan yang boleh cetuskan kegusaran hal melibatkan perkara yang termaktub dalam perlembagaan, Islam, soal institusi raja-raja, soal bahasa. Ini sebagai asas permulaan dan mereka sendiri setuju,” katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas Asyraf lagi, beliau yakin tiada mana-mana pihak yang berani melanggar kandungan perjanjian itu bagi menjaga kestabilan politik supaya tidak menjadi seperti pemerintahan 22 bulan di bawah PH.

“Kita harus belajar daripada sejarah lampau, pembentukan kerajaan yang tidak telus, perjanjian sulit oleh parti yang disembunyikan daripada khalayak umum dan sudah tentu ia menimbulkan keresahan dan kegelisahan dalam mana-mana kerajaan yang ditubuhkan.

“Kali ini, rakyat harus menjadi saksi dan jika DAP membuat kesilapan seperti 22 bulan lalu yang menghiris perasaan orang Melayu, menidakkan perkara yang disepakati bersama dalam perlembagaan, menyentuh kedudukan orang Melayu, saya kira dalam hal itu UMNO tidak boleh berdiam diri, dan sebagai parti induk dalam BN mesti ambil tindakan tegas dan itu semua kita telah disepakati bersama dalam perjanjian.

“Bukan bermakna kita bersama dalam kerajaan di dalamnya ada parti yang dibimbangi, kita mendiamkan diri bila mereka ulang kesilapan sama, tidak,” ujarnya lagi. –UTUSAN

The post Dokumen ‘ikat janji’ BN-PH jamin hak Melayu Islam appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article