Diskriminasi kaum di French Riviera

1 month ago 44

Susunan ZULHAIDI MANSOR

FRENCH RIVIERA, Perancis: Kumpulan anti-perkauman SOS Racisme, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perancis  mendakwa satu pertiga daripada pantai persendirian mewah di Riviera Perancis melakukan diskriminasi bermotifkan perkauman.

Kumpulan NGO itu, menurut laporan The Guardian, telah menghantar beberapa orang aktivis dari latar belakang etnik yang berbeza, termasuk pasangan yang menyamar dengan penampilan Afrika Utara ke kawasan panas pantai eksklusif dan secara sembunyi merakam untuk mendokumentasikan cara layanan terhadap kaum yang berlainan. 

Dalam satu kejadian, aktivis melaporkan bahawa pasangan kulit putih telah diberikan kerusi berjemur sejurus selepas pasangan kulit hitam diberitahu bahawa semua kerusi berkenaan  telah ditempah.

Aktivis lain berkata mereka ditolak apabila cuba membuat tempahan kerana nama keluarga mereka yang ‘kedengaran berbunyi Afrika’.

“Dengan nama yang berbunyi Afrika, tempat itu dikatakan sudah penuh. Namun, apabila saya menelefon semula dan memberikan nama Perancis, peliknya masih ada tempat (kekosongan) lagi,” kata seseorang aktivis kepada akhbar Perancis, Le Monde.

Sementara itu, Czechia Postsen melaporkan SOS Racisme telah menjalankan beberapa operasi penyamaran yang serupa sejak 1990-an, tetapi ini adalah kali pertama ia memberi tumpuan kepada pantai persendirian di Riviera.

“Kami mendapati diskriminasi boleh berdasarkan pakaian, warna kulit, rupa fizikal dan asal usul seseorang itu. Sungguh tidak adil dan tidak boleh ditoleransi seperti ini,” jelas Karima Es-slimani, dari SOS Racisme Nice, memberitahu televisyen France 3. 

Presiden SOS Racisme, Dominique Sopo pula berkata, keadaan ini adalah akibat kegagalan pihak berkuasa awam yang jelas dalam mengharamkan diskriminasi kaum. 

Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan untuk Hak Asasi Manusia (CNCDH) berkata dianggarkan 1.2 juta orang menjadi mangsa pencerobohan bermotifkan perkauman setiap tahun di Perancis, manakala terdapat hanya 1,000 sabitan di mahkamah atas kesalahan yang dilaporkan, selalunya disebabkan keengganan mangsa untuk melaporkan serangan kepada polis. – HARAKAHDAILY 11/8/2022

Read Entire Article