Dilantik Jadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang, Shahrol Shiro Tekad Selesaikan Isu Gangguan Gajah Liar

1 month ago 53

Pelawak, Shahrol Shiro yang baru sahaja dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berjanji akan menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin.

Menurut Shahrol atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi, meskipun tanggungjawab ini agak berat, namun dia tetap akan berusaha keras bagi menjaga kebajikan orang ramai khususnya buat para penduduk di Kluang, Johor.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Shahrol Azizie Azmi (@shahrol_shiro)

“Barisan Ahli Majlis 2022/2023 MPK Majlis Perbandaran Kluang telah dilantik secara rasminya. Tangan kita ringan semasa mengangkat sumpah tetapi tanggungjawab dan amanah yg dipikul amat berat.

“Semoga barisan ini dapat bergerak bersama memberi manfaat penduduk Kluang.Kepada Allah kita berserah,” tulisnya.

Perkhabaran tersebut dikongsikan sendiri oleh anggota kumpulan Shiro itu menerusi entri terkini di laman Instagram.

Memetik laporan Utusan, Shahrol memaklumkan, buat masa ini, dia mahu memberikan penekanan berkaitan gangguan gajah liar di sekitar Kluang, terutamanya melibatkan kawasan Taman Sri Impian.

“Walaupun sudah lama berlaku kejadian seperti ini, namun masih belum ada tindakan konkrit dilakukan oleh mana-mana pihak termasuk syarikat yang bertanggungjawab membina kawasan kediaman ini.

“Jika sebelum ini kumpulan gajah berkenaan hanya mengganggu tanaman yang ditanam di pinggir kawasan kediaman berkenaan, namun sejak akhir-akhir ini gajah sudah berani untuk masuk lebih dekat ke rumah penduduk.

“Apa yang dibimbangi adalah sekiranya ada provokasi daripada penduduk akan menyebabkan kumpulan gajah berkenaan marah dan mungkin boleh mengakibatkan keadaan lebih buruk termasuk kematian,” katanya seperti yang dipetik.

Dalam pada itu, bapa kepada dua orang cahaya mata ini turut memberitahu, dia juga bakal mendekati para penduduk agar permasalahan mereka dapat didengari dan diselesaikan secepat mungkin.

“Namun, sekiranya ditugaskan untuk kawasan kediaman lain, saya akan berusaha mendekati penduduk seterusnya mendalami setiap permasalahan dihadapi sebelum dibawa ke peringkat tertinggi di MPK untuk dibincangkan dan diatasi dengan sebaiknya,” katanya lagi.

Tugas mereka bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2023.

Hadir menyaksikan majlis angkat sumpah berkenaan ialah Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Norliyati Md. Nor dan Setiausaha MPK, Mohamad Yazid Baharudin.

Selepas meninggalkan industri seni tanah air, Shahrol mula berjinak-jinak dalam arena politik pada 2019 sebelum dilantik sebagai Penolong Bendahari Pergerakkan Pemuda UMNO Bahagian Kluang.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Shahrol Shiro & Utusan Malaysia

The post Dilantik Jadi Ahli Majlis Perbandaran Kluang, Shahrol Shiro Tekad Selesaikan Isu Gangguan Gajah Liar appeared first on Media Hiburan.

Read Entire Article