Dihalau sebab bahasa Arab: Lelaki Muslim saman Alaska Airlines

1 month ago 42

Susunan ZULHAIDI MANSOR

JUNEAU, Alaska: Dua lelaki Muslim berkulit hitam telah memfailkan saman diskriminasi persekutuan terhadap Alaska Airlines, selepas mereka dihalau keluar dari pesawat syarikat penerbangan itu, sejurus sebelum berlepas hanya kerana mereka menghantar mesej dan bercakap dalam bahasa Arab.

Menurut aduan yang difailkan pada Selasa (9 Ogos) di mahkamah daerah persekutuan, plaintif, Abobakkr Dirar dan Mohamed Elamin mendakwa mereka menaiki penerbangan dari Seattle ke San Francisco pada 17 Februari 2020, dan selepas duduk di kerusi kelas pertama pesawat itu, mereka mula bercakap dan menghantar mesej dalam bahasa Arab, lapor CNN.

Seorang lagi penumpang, yang tidak bercakap bahasa Arab, menurut aduan itu, terlihat beberapa mesej teks Dirar dan memberitahu kru pesawat itu yang kemudian bertindak menghalau kedua-dua lelaki itu daripada penerbangan berkenaan atas apa yang didakwa sebagai ‘isu tiket’. 

Sebaik sahaja Dirar dan Elamin keluar dari pesawat berkenaan, mereka mengadakan perbincangan dengan seorang pengurus Alaska Airlines yang menterjemah mesej teks mereka yang dianggap bukan berbaur ancaman dari aspek keselamatan, namun secara tiba-tiba kedua-dua lelaki itu dikepung oleh beberapa penguatkuasa undang-undang, menurut aduan itu lagi.

Tambah aduan itu, Dirar dan Elamin menuntut ganti rugi daripada Alaska Airlines kerana berasa terhina dihalau keluar dari pesawat itu, dan dikelilingi oleh penguatkuasa undang-undang sambil diperhati dan dimalukan di hadapan penumpang lain.

Kedua-dua lelaki itu kemudiannya terpaksa menempah penerbangan berikutnya secara berasingan untuk ke San Francisco, tetapi mereka tiba ke destinasi beberapa jam lebih lewat daripada yang sepatutnya.

Peguam Dirar dan Elamin, Luis Segura, dalam satu kenyataannya memberitahu CNN bahawa Alaska Airlines boleh mengendalikan keadaan itu secara lebih profesional selepas mendapati dakwaan penumpang yang membuat aduan itu sama sekali tidak berasas.

Dalam pada itu, NBC News pula melaporkan kes saman yang difailkan di mahkamah persekutuan di Daerah Barat Washington itu, mendakwa Alaska Airlines telah mengaib dan menafikan hak Dirar dan Elamin sebagai penumpang dengan ‘mengeksploitasi tuntutan Islamofobia, perkauman dan xenofobia yang didiskreditkan’ individu lain dalam penerbangan itu. 

Menurut aduan itu, plaintif, yang disifatkan sebagai warganegara Amerika Syarikat kelahiran Sudan yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Arab, sedang duduk di tempat duduk kelas pertama dalam penerbangan dari Seattle ke San Francisco pada 17 Februari 2020 apabila seorang penumpang lain menjadi cuak selepas melihat salah seorang daripada mereka (Dirar) menaip teks di telefon bimbitnya dalam bahasa Arab.

Sedangkan, tambah aduan itu, teks mesej berkenaan adalah gurauan mesra antara seorang lelaki dengan seorang individu lain yang tidak berada di atas pesawat berkenaan ketika itu.

Dalam hujahnya, Segura mendakwa bahawa pekerja syarikat penerbangan itu kemudian terlibat dalam sebuah ‘teater lakonan keselamatan’ dengan menghalau Dirar yang menghantar mesej telefon dalam bahasa Arab, dan Elamin yang bercakap dengan Dirar dalam bahasa Arab, keluar dari pesawat berkenaan.

Dalam aduan saman berkenaan juga mengatakan bahawa selepas kejadian itu, kedua-dua Dirar dan Elamin dilarang terbang bersama-sama dalam penerbangan Alaska Airlines yang telah ditempah, memaksa mereka menaiki penerbangan Alaska Airlines yang lain secara berasingan, sehingga masing-masing tiba beberapa jam lewat ke destinasi mereka.

Jurucakap Alaska Airlines berkata bahawa syarikat penerbangan itu tidak akan mengulas mengenai litigasi yang belum selesai tetapi ia menekankan bahawa syarikat itu melarang diskriminasi yang menyalahi undang-undang.

“Kami mengambil aduan sedemikian dengan sangat serius. Tanggungjawab terbesar kami ialah memastikan operasi penerbangan kami selamat setiap hari,” ujar jurucakap kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.

Segura yang merupakan peguam di bawah Majlis Hubungan Amerika-Islam, memberitahu NBC News bahawa seorang pengurus Alaska Airlines yang boleh berbahasa Arab telah menyemak mesej teks Dirar dan menganggapnya ia bukan berbaur ancaman terhadap keselamatan pesawat berkenaan. – HARAKAHDAILY 10/8/2022

Read Entire Article