“Dia Bukan Perosak Lagu,” – Lagu Hutang Meletup, Floor88 Yakin Duet Dengan Raffa Affa Bakal Kukuhkan Nama Di Indonesia

1 month ago 59

Bagi mengukuhkan lagi nama mereka di Indonesia, kumpulan Floor88 kini sudah bersedia bekerjasama dengan penyanyi baharu tular dari seberang, Raffa Affar.

Sudah pun mempunyai perancangan bersama, Floor88 akui mereka bakal melaksanakan proses rakaman lagu itu dalam masa terdekat.

Menurut vokalisnya, Ayie, Floor88 berjaya menembusi pasaran muzik di negara seberang selepas lagu hit mereka, Hutang mendapat perhatian peminat di sana.

“Peminat dari Indonesia sudah mula menyukai muzik kami dan kami dah ada beberapa penganjur yang mahu mengadakan persembahan Floor88 di sana, cumanya kalau kami pergi dengan membawa lagu Hutang sahaja, takut krik-krik bila kami persembahkan lagu lain.

“Jadi sekarang kami ada perancangan dalam proses menyiapkan sebuah lagu duet bersama Raffa Afar.

“Bila kami keluarkan lagu tu nanti, diharap ia dapat mengukuhkan lagi nama kami di sana,” kata Ayie kepada MH.

Ayie ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelima Floor88 yang diadakan di Pejabat Rusa Music, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Pada majlis sama, mereka turut melancarkan single terbaharu berjudul Sahabat yang membawa pengertian cukup mendalam buat kesemua enam ahli Floor88.

Selain Ayie, kumpulan itu turut dianggotai Achoi (pemain gitar), Amir (pemain gitar), Falique (pemain bass), Eric Fuzi (pemain keyboard) dan Akram (pemain dram).

Sementara itu, Floor88 menyangkal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa Raffa sebagai perosak lagu seperti mana yang menjadi tular baru-baru ini.

“Bagi kami Raffa bukan perosak lagu. Dia memiliki gaya nyanyian tersendiri.

“Kami memilih berduet dengan Raffa untuk single baharu nanti kerana yakin dengan bakat dan kemampuan nyanyiannya,” kata Ayie lagi.

Untuk rekod, Raffa sebelum ini menerima kecaman hebat netizen apabila dikatakan merosakkan lagu popular era 90-an iaitu Mengintai Dari Tirai Kamar nyanyian kumpulan Exists serta lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris menerusi lagu cover yang dibawakannya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

The post “Dia Bukan Perosak Lagu,” – Lagu Hutang Meletup, Floor88 Yakin Duet Dengan Raffa Affa Bakal Kukuhkan Nama Di Indonesia appeared first on Media Hiburan.

Read Entire Article