Bukan Sahaja Semangat, Wanita BN Terbukti Jentera Hadapan Parti – Ahmad Zahid

1 month ago 37

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melihat semangat jentera Wanita parti bukan sahaja cukup tinggi malah diyakini serta terbukti barisan hadapan parti terbabit.

Berucap pada majlis penutup Konvensyen Wanita BN, di sini hari ini, beliau seterusnya menambah dengan pelbagai cabaran yang ada khususnya penambahan parti-parti yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Wanita BN boleh memainkan peranan tersendiri khususnya dalam usaha merealisasikan hasrat rakyat yang ingin melihat BN kembali menerajui negara.

“Hakikatnya kini ada enam parti komponen dalam landskap politik negara. Antaranya selain daripada BN terdapat lagi PN, PH, kita ada GPS, kita ada GRS dan terbaru GTA. Apakah hakikat yang ada di depan kita apabila terdapat enam parti gabungan ini.

“Hakikat ini ertinya pengundi-pengundi mempunyai banyak pilihan pada PRU nanti untuk memilih lambang mana yang mereka mahu. Pada Pilihan raya Negeri (PRN) Sabah dalam satu DUN terdapat terdapat 15 calon yang bertanding dan pada PRU nanti kita akan lihat meriahnya pilihan raya dengan perebutan pengaruh undi.

“’Trend’ yang sedang berlaku sekarang ini memperlihatkan mereka (rakyat) rindukan BN untuk memerintah kembali, namun soalnya bagaimana kita nak gamit sokongan itu semula… jawapannya jentera Wanita BN boleh memujuk mereka untuk kembali kepada kita, insya-Allah,” katanya.

Turut bersama pada Konvensyen berkenaan Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua-Ketua Wanita komponen dan pimpinan UMNO serta BN di peringkat pusat dan negeri.

Dalam ucapan yang sama Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut meminta rakan-rakan komponen BN agar masing-masing tidak menimbulkan sebarang isu yang dikhuatiri boleh merumitkan lagi keadaan.

Tambah beliau soal pengagihan kerusi sebagai contoh hakikatnya akan dibuat berdasarkan kajian yang terbaik dan sudah pasti matlamat utama adalah untuk memastikan kemenangan BN kelak.

“Saya minta parti komponen jangan berbeda dan jangan timbukan isu. Hakikatnya kita akan buat kajian yang terbaik. Apa pun tumpukan serangan pada lawan kita dan jangan tumpukan sesama sendiri.

“Kita mempunyai kawasan fokus dan dalam perkiraan saya jika kita dapat gamit semula hati pengundi insya-Allah BN akan dominan semula dalam PRU nanti,” tambahnya.

Tambah beliau lagi pengundi yang akan membuat pilihan pada pilihan raya umum nanti cukup bijak dalam membuat penilaian parti mana serta calon mana malah akan turut melihat kepada isu-isu yang dibangkitkan selain akan turut fokus kepada soal tawaran untuk mereka.

“Inilah yang akan kita tekankan dan pastinya tugas media sosial jentera parti pelbagai peringkat khususnya Wanita BN dan Pemuda serta Puteri. Begitu juga BN Comm selain PUMAS  kita perlu jawab apa jua isu yang ditimbulkan.

“Jangan tunggu untuk jawab isu-isu ini. Terdapat juga kalangan kita apabila dapat sesuatu isu tidak dijawab sebaiknya tetapi turut  tolong viralkan. Akhirnya kita tidak menjawab sebaliknya mengharapkan pihak lain untuk menjawab,” ujarnya.

Ahmad Zahid seterusnya menjangkakan akan ada pelbagai isu yang akan ditimbulkan oleh pihak lawan dan atas dasar itulah jentera setiap peringkat perlu berwaspada dan siap siaga untuk menghadapinya.

“Kita jangka akan ada banyak lagi yang mereka akan timbulkan… Apa pun kita perlu siap siaga dan khuatir tidak bersedia sepenuhnya untuk menjawab isu-isu yang ditimbulkan pada saat akhir yang akhirnya dibimbangi mempengaruhi pemikiran rakyat, maka usaha kempen kita sia-sia,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Read Entire Article