Baja padi, racun serangga perlu jadi barang kawalan

2 months ago 44

KUALA SELANGOR: Baja, padi dan racun serangga perlu disenaraikan sebagai barang kawalan bagi menangani kenaikan harga pasaran dan meringankan beban pesawah di negara ini.

Keadaan itu antaranya berikutan masalah kemerosotan hasil padi dan kos pertanian yang semakin meningkat.

Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan dasar itu perlu dilaksanakan sebagai usaha membantu kerajaan mengawal kenaikan harga input pertanian ketika ini.

“Pesawah kini bukan saja berdepan kos harga pertanian, namun, masalah serangan penyakit padi, serangga perosak, ribut dan banjir.

“Justeru, cadangan menetapkan harga kawalan bagi baja dan racun perlu dilaksanakan bagi membantu pesawah di seluruh negara termasuk Tanjong Karang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Hari Ladang Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor di Pukal Blok E Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini, hari ini.

Jelas Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, cadangan itu akan dibawa kepada mesyuarat jawatankuasa berkenaan minggu depan.

Kata beliau, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan taraf hidup pesawah.

“Inisiatif itu antaranya menyalurkan semula bantuan pesawah berjumlah RM800 setahun bagi dua musim sementara menunggu hasil tuaian padi.

“Insentif berkenaan pernah diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) namun dihentikan Pakatan Harapan (PH) dan kini dikembalikan semula kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noh meminta IADA Barat Laut Selangor terus memfokuskan bantuan berterusan kepada pesawah bagi memajukan sektor pertanian.

“Kita perlu memastikan pesawah kekal menanam padi kerana mereka akan mencari jalan keluar lain jika hasil menurun.

“Walaupun peraturan IADA tidak membenarkan perkara itu, keadaan mendesak memungkinkan mereka beralih kepada tanaman sayuran, kelapa sawit atau mengusahakan Inap desa,” katanya. –UTUSAN

The post Baja padi, racun serangga perlu jadi barang kawalan appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article