Asatizah diingat jauhi polemik undang perpecahan

3 months ago 95

ISLAM itu sangat cintakan kedamaian dan keharmonian hidup, serta melarang umatnya dari berpecah belah. Maka dalam usaha menggalakkan penyatuan aliran pemikiran Ahli Sunnah Wal-Jamaah, terutamanya dalam merungkai perselisihan antara Salaf dan Khalaf, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui YADIM telah mengambil inisiatif mengadakan program Ijtimak Asatizah Malaysia 2022, dengan tema ‘Penyatuan dan Harmoni Aliran Pemikiran’.

Sebenarnya, isu-isu yang menjadi polemik saban hari ini kebanyakannya melibatkan perkara yang bersifat ijtihadi berasaskan dalil-dalil Zhanni, bukan perkara yang disepakati mengenai hukumnya, bahkan telah dibahaskan oleh para ulamak terdahulu. Sayangnya, konflik sebegini masih berlaku dalam kalangan agamawan sama ada melibatkan isu baharu, atau pun isu lama yang diulang-ulang tanpa ada kesudahan. Lebih mengecewakan, perselisihan yang berlaku turut melahirkan aliran-aliran yang kontradik antara satu sama lain lalu melahirkan penyokong yang taksub sehingga mewujudkan bibit kafir mengkafir yang amat berbahaya.

Memetik kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menitikberatkan sikap berlapang dada dalam berkhilaf dan berbeza pendapat, beliau menyebut: “Banyak perkara yang mempengaruhi kefahaman manusia sehingga mereka berbeza pendapat seperti tahap pemahaman, situasi berbeza, kecenderungan jiwa dan pemikiran berbeza. Seorang yang tegas akan memahami nas tidak seperti seorang yang lembut memahami nas. Oleh yang demikian, warisan Islam terkenal dengan syada’id (ketegasan) Ibn Umar dan rukhsah (keringanan) Ibn Abbas. Adapun yang perlu dibantah secara sesungguhnya dan ditolak pembawanya, iaitulah mereka yang menolak nas-nas syarak yang muktamad dari sudut thubut (periwayatannya) dan dilalahnya (petunjuknya).

Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Duta Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah, selaku ucaptama program dan Ustaz Haji Nasrudin Hassan, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) selaku penganjur utama program. Terima kasih diucapkan kepada asatizah dan semua yang hadir dari seluruh Malaysia baik dari agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri, guru-guru Institusi Pengajian Pondok dan Maahad Tahfiz.

Saya juga berharap ijtimak asatizah yang diadakan ini akan membuahkan hasil untuk Ummah serta menemukan titik penyatuan dan keharmonian umat Islam.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 20/6/2022

The post Asatizah diingat jauhi polemik undang perpecahan appeared first on HarakahDaily.

Read Entire Article