4 samseng jalanan termasuk wanita asing ditahan

1 month ago 32

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga asing yang didapati melakukan aksi berbahaya dalam Op Samseng Jalanan di dua lokasi berasingan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan antara Khamis hingga 4 pagi semalam.

Katanya, suspek itu ditahan di lokasi tumpuan panas golongan remaja melakukan aksi berbahaya, iaitu di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) dan Taman Daya, di sini.

“Lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai hotspot golongan remaja melakukan aksi berbahaya antara aksi berkenaan termasuk wheely, superman dan menunggang secara zig-zag serta pelbagai aksi lain yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

“Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Dalam operasi itu, pihaknya mengeluarkan 17 saman atas  20 kesalahan, antaranya tiada lesen, nombor pendaftaran dan ubah suai struktur kenderaan serta ekzos.

Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Selatan turut menyita 11 motosikal untuk tindakan lanjut.

“Kita akan sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa terutamanya pada hujung minggu bagi mengekang kegiatan samseng jalanan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE

The post 4 samseng jalanan termasuk wanita asing ditahan appeared first on Utusan Malaysia.

Read Entire Article