16 maut banjir di Kentucky: Angka kematian dijangka meningkat

1 month ago 52
Banjir besar melanda di wilayah Appalachia, timur Kentucky pada 29 Julai 2022 (waktu tempatan). (FOTO CNN

JACKSON: Pasukan mencari dan menyelamat menggunakan bot dan helikopter pada hari Jumaat (29 Jul) untuk mencari mangsa yang terselamat daripada banjir kilat akibat hujan lebat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 orang di wilayah Appalachia di timur Kentucky, Amerika Syarikat.

Gabenor negeri selatan-tengah AS, Andy Beshear dalam kenyataannya berkata, jumlah kematian akibat banjir teruk mungkin meningkat jauh lebih tinggi.

Beshear berkata enam daripada 16 yang disahkan maut adalah kanak-kanak, termasuk empat daripada keluarga yang sama.

Helikopter Pengawal Kebangsaan Kentucky, dan kumpulan sukarelawan menjelajah kawasan yang dilanda banjir pada Jumaat untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas di atas bumbung dan berpaut pada pokok.

Beratus-ratus orang telah diselamatkan dengan bot sejak banjir bermula pada petang Rabu dan terdapat kira-kira 50 penyelamatan udara menggunakan helikopter Pengawal Kebangsaan, katanya.

“Dengan banyak jalan yang dihanyutkan kami masih tidak boleh sampai ke ramai mangsa.

“Arusnya sangat deras dan tidak selamat untuk beberapa penyelamatan air yang perlu kami lakukan,” kata Beshear.

Wilayah Appalachia yang miskin di timur Kentucky telah mengalami banjir kilat sebelum ini, kata Beshear, namun banjir kali ini adalah yang pertama kali seumpamanya.

“Kami tidak pernah melihat sesuatu (banjir) seperti ini. Selama 20 tahun lalu, kami tidak pernah melihat air setinggi ini.

“Ada beberapa rumah orang yang hanyut sepenuhnya pada tengah malam ketika mereka sedang tidur,” ujarnya.

Beberapa kawasan dilaporkan menerima hujan lebih daripada 20 sentimeter dalam tempoh 24 jam.

Paras air North Fork Sungai Kentucky di Whitesburg meningkat secara mengejut  kepada 6 meter hanya  dalam tempoh  beberapa jam, jauh melebihi rekod sebelumnya iaitu 4.5 meter.

Ramalan cuaca untuk beberapa hari akan datang menjangka  hujan lebat akan berterusan sehingga Isnin (1 Ogos) ini.

“Banyak jalan-jalan raya telah bertukar menjadi sungai, dengan kereta dan trak yang rosak bersepah di landskap atau terapung dalam air banjir coklat berlumpur.

“Beberapa rumah hampir tenggelam sepenuhnya di kawasan rendah dengan hanya bahagian atas bumbung kelihatan,” kata Beshear. – HARAKAHDAILY 30/7/2022

Read Entire Article